Tuesday, 10 February 2015

Solat Jamak di Hari Walimah (Majlis Perkahwinan)

Assalamualaikum....

Ada kawanku bertanya, boleh ke kalau pengantin perempuan jamak solat zohor dan asar di hari walimahnya?

Jawapan seorang sahabat: 

Wallahu a'lam. Allah Yang Lebih Mengetahui, menjamak solat zohor dan asar kerana hari perkahwinan kerana kesukaran untuk menunaikannya pada waktunya diharuskan hal ini berdasarkan dalil dari hadis yang bersifat umum dari sebuah hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas r.a menyebut: 

Rasulullah s.a.w solat jamak zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan,juga tidak kerana musafir. Ditanya Ibnu Abbas mengapa baginda melakukan demikian? Jawabnya : Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya.
[Hadis Riwayat Muslim].

Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga di sebut “Baginda menjamakkan solatnya tidak disebabkan ketakutan dan hujan.”


Para fuqaha (ulama feqah) menyimpulkan hadis-hadis seumpama ini bermaksud solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu. Contohnya seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka yang bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu, doktor bedah yang tidak boleh meninggalkan pesakit, pelajar yang menghadapi peperiksaan yg penting dan sebagainya.
Dalam fatwa Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkaitan masalah ini, beliau berkata di dalam Fatwa Mu’asarah (Fatwa semasa): 
“Kadang-kala jika terdapat kesusahan untuk menunaikan setiap solat pada waktunya, maka solat secara jamak boleh dilakukan sebagai mengambil keringanan yang diperuntukkan dalam agama. Asalkan perkara ini tidak dijadikan kebiasaan. Sebaliknya perkara ini diharuskan secara sekali-sekala ketika berhadapan dengan sesuatu kesempitan atau kesukaran."
Jadi kesimpulannya, dibolehkan untuk kita menjamak solat zohor dan asar kerana kesukaran atau hajat yang tertentu. Hal ini berdasarkan kepada keumumam pada hadis diatas, (boleh dilakukan sama ada jamak taqdim atau takhir), namun tidak boleh kita jadikan ia sebagai satu kebiasaan. Akan tetapi selama-mana kita ada ruang atau kelapangan untuk solat pada waktunya di hari perkahwinan, maka untuk menunaikan solat pada waktunya menjadi satu keutamaan, kerana mendahulukan hak-hak Allah SWT dari urusan lain adalah lambang kepada ciri-ciri hamba Allah yang benar-benar bertaqwa padanya, Insya Allah
Saya mohon maaf di atas segala kekurangan semoga penjelasan ini memberi manfaat. Wallahu alam

No comments:

Post a Comment